Corak kecederaan pada jasad Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tidak menunjukkan kesan akibat tindakan pukul, tumbuk atau tendang.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menjalankan proses bedah siasat ke atas anggota bomba pada 18 Disember lalu berpandangan kecederaan pada rusuk belakang sebelah kiri mangsa berpunca daripada tekanan kuat objek keras, nipis dan tumpul dan ia selari dengan sifat daun pintu EMRS.

“Pada pandangan saya corak kecederaan yang diperiksa pada si mati adalah tidak berpadanan kecederaan akibat dipukul.

“Pintu nipis tumpul pintu EMRS ini menyebabkan kepatahan tulang rusuk kiri 1-7,” katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini.

Tambahnya, ketika menjalankan pemeriksaan terhadap jasad Muhammad Adib mendapati tiada sebarang kecederaan di muka, kepala, atau bahagian abdomen seperti tindakan mempertahankan diri.

“Corak kecederaan bahagian toreks pada jasad mayat bukanlah cedera yang sering atau kebiasaan dipukul atau ditendang atau ditumbuk selain itu tiada kecederaan muka kepala abdomen anggota atas dan bawah yang berpadanan cedera atau mempertahankan diri,” jelasnya.

Manakala kecederaan serta lebam yang dialami pada bahagian tangan dan bahu kanannya pula dikatakan konsisten dengan impak jatuh ke hadapan kemudian terkena objek keras.

Berkemungkinan objek keras yang dikatakan itu merupakan kereta atau bahu jalan selepas dirempuh daun pintu EMRS.

“Berdasarkan video, kebarangkalian Adib berada di luar EMRS kemudian mendapatkan hentaman pintu sebelum kenderaan tersebut terpusing dan berdasarkan corak kecederaan yang ada ia berlaku sangat pantas berlaku geseran belakang kiri jatuh kurang 10 saat kemudiannya," katanya lagi.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan maklumat konstrukstif bahawa pemandu van bomba sebelum ini yang mengesahkan penumpang hadapan tiada di tempatnya ketika trak FRT menolak van EMRS secara mengundur.

“Saya dimaklumkan saksi kejadian, pemandu kenderaan EMRS memberitahu penumpang hadapan tiada dalam kenderaan selepas trak bomba mengundur dan menghentam EMRS.

“Berdasarkan maklumat tersebut, kemungkinan yang paling berlaku adalah jika benar si mati berada di luar, si mati dalam keadaan berdiri menghadap ke arah belakang membelakangi trak bomba, kirinya menerima impak dari kenderaan EMRS dan menyebabkan kepatahan belakang rusuk kiri 1-7,” katanya lagi.

Bagaimanapun, pihaknya tidak boleh mengesahkan jika benar Muhammad Adib dihimpit di antara dua kenderaan seperti didakwa sebelum ini.

Ahmad Hafizam turut memberitahu bahagian paru-paru kanan hadapannya mempunyai kesan tusukan ekoran tulang rusuknya yang patah.

Selain itu, katanya kecederaan yang dialami Muhammad Adib sememangnya amat parah.

"Apa yang doktor mampu buat adalah berusaha untuk memanjangkan jangka hayatnya dan peratus untuk dia pulih akibat kecederaan itu sangat rendah," katanya.

Pakar Forensik HKL itu hadir sebagai saksi ke-24 pada prosiding inkues yang telah masuk hari ke-16 pada Jumaat.

Prosiding yang dijalankan di hadapan Koroner Rofiah Mohammad itu akan bersambung pada Selasa.