Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi pada sesi prosiding inkues hari ini meluahkan rasa kecewa apabila formula pelanggaran yang dikemukakannya menjadi pertikaian.

Pada sesi prosiding, isu teori yang dikemukakannya sering menjadi perdebatan dan menimbulkan persoalan di kalangan peguam mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Bercakap pada prosiding ke-36 inkues di Mahkamah Koroner di sini, hari ini, saksi ke-24 ini menganggap dirinya telah dimalukan.

"Saya bukan pakar fizik dan saya tidak sepatutnya dimalukan mahkamah. Saya juga penjawat awam. Niat saya cuma nak bantu mahkamah," katanya, menzahirkan rasa kesalnya.

Jelas Ahmad Hafizam lagi, tujuannya hanya ingin membantu mahkamah berdasarkan dapatan dari pihaknya dan tiada sebarang niat untuk mengelirukan mahkamah.

"Kita dalam inkues untuk perbincangan, kita bukan dalam perbicaraan, sepatutnya saya boleh balik rehat tapi saya balik buat sesuatu yang membantu mahkamah," katanya ketika disoal peguam Syazlin Mansor.

Kenyataan Ahmad Hafizam itu menerima respon daripada peguam itu yang menyifatkan pakar itu terlalu emosi.

"Soalan saya bukan untuk memalukan. Jangan terlalu ambil serius. Saya cuma nyatakan kenyataan (Ahmad Hafizam) mengelirukan mahkamah dan bukan minta Doktor betulkan semula formula," kata Syazlin.

BACA: Inkues Adib: Teori kecederaan pakar forensik kelirukan mahkamah - Peguam

Ahmad Hafizam pada sesi keterangan hari ini turut mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Koroner kerana memberi peluang kepada pihaknya untuk membantu kes ini.

Untuk rekod, Pakar Forensik HKL yang bertanggungjawab melakukan proses bedah siasat terhadap Muhammad Adib itu telah memberi keterangan sebanyak 9 kali sepanjang prosiding inkues.

Sesi prosiding akan bersambung semula dengan keterangan Bekas Pakar Forensik HUKM, Profesor Dr Shahrom Abdul Wahid pada 27 Mei di hadapan Koroner Rofiah Mohammad.

Difahamkan Mahkamah Koroner bercadang untuk memanggil lagi beberapa saksi pakar, bagaimanapun ia masih lagi berada di peringkat perbincangan.