Inkues Adib: Laporan bedah siasat tidak selari dengan teori kecederaan - Saksi pakar

Inkues Adib: Laporan bedah siasat tidak selari dengan teori kecederaan - Saksi pakar
Shahrom Abdul Wahid yang tidak bersetuju mengenai teori kecederaan Muhammad Adib. - Astro AWANI
SHAH ALAM: "Adib tidak mungkin dilanggar pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)".

Demikian kata Bekas Pakar Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Dr Shahrom Abdul Wahid yang tidak bersetuju mengenai teori kecederaan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, yang dikemukakan sebelum ini.

Saksi ke-29 itu berkata perkara itu agak mustahil untuk berlaku susulan keadaan kelajuan van EMRS yang berundur sewaktu kejadian rusuhan tidak berpadanan dengan kecederaan yang terhasil oleh mangsa.

"Sekiranya Adib dilanggar dengan kelajuan 17 kilometer per jam dibahagian pintu van EMRS, mangsa akan terpusing ke belakang dan dia (Adib) akan jatuh di kawasan yang dilanggar," ujarnya.
Tambahnya lagi, jika keadaan itu berlaku mangsa juga akan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

"Dia akan jatuh secara rata di pungung, diikuti ke belakang dan jatuh di bahagian kepala yang
sepatutnya akan mendatangkan kecederaan di belakang kepala tetapi tidak sehingga patah tulang rusuk," katanya di Mahkamah Koroner pada Jumaat ketika menjawab persoalan Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah.

Ketika sesi prosiding berlangsung, Shahrom turut berkongsikan contoh insiden melibatkan pelanggaran manusia di luar negara yang ditayangkan menerusi video dan kebanyakan telah dilanggar dengan kadar kelajuan yang kebih laju namun tidak menyebabkan kepatahan tulang rusuk ujarnya.

Bagi menguatkan lagi hujahnya, saksi sama turut menjalankan uji kaji menggunakan anggota bomba yang yang dilindungi span tebal pada keliling badannya sebelum dilanggar menggunakan van EMRS yang sama seperti pada malam kejadian.

Dalam perkembangan lain, pihaknya juga tidak bersetuju sekiranya Muhammad Adib telah dihentak menggunakan helmet kerana ia memakan masa.

"Jika mahu pecahkan cermin sisi dan belakang Van EMRS perlu dihentak lebih 2 kali dan mengambil masa yang lama sebelum mengena mangsa", katanya.

Shahrom yang hadir pada sesi prosiding yang masuk hari ke-29 itu turut mengkritik serta tidak berpuas hati dengan teori awal Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi berdasarkan laporan bedah siasat Muhammad Adib yang dilihat terdapat percanggahan.

"Ada tiga isu pokok, iaitu sama ada mangsa keluar kenderaan sendiri, mangsa ditarik orang lain, dan mangsa alami kecederaan akibat terhimpit antara dua permukaan keras.

"Dalam keterangan di mahkamah, Hafizam kata mangsa keluar sendiri dan alami kecederaan antara 2 permukaan keras, tetapi menurut laporan bedah siasat, katanya perkara itu tak pasti," jelasnya kepada Mahkamah Koroner.

Sebelum ini, Pakar Forensik HKL itu ketika memberi keterangan berkata, Adib dihentak pintu van EMRS yang berundur akibat dilanggar jentera Fire Rescue Tender (FRT) ketika rusuhan berlaku di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, November tahun lalu.

Sesi prosiding akan bersambung semula minggu depan di hadapan Koroner Rofiah Mohammad dan dijangka saksi pakar HKL akan dipanggil semula untuk memberi keterangan.

Tag: muhammad adib mohd kassim, inkues adib, anggota bomba, cedera, perbicaraan mahkamah, insiden kuil, rusuhan kuil, saksi, forensik


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.