Mahkamah Rayuan sekali lagi menangguhkan permohonan Pihak Kuil Sri Maha Mariamman untuk menangguhkan prosiding inkues anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim serta menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding berkenaan.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid memaklumkan perbicaraan akan didengar semula bersama dengan permohonan pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk membantah permohonan pihak kuil untuk menangguhkan prosiding inkues serta membatalkan rayuan pihak jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25.

"Kita akan tangguhkan permohonan rayuan kedua-dua pihak sehingga dapat tarikh bersesuaian, buat masa ini pihak-pihak berkepentingan boleh mengemukakan sebarang afidavits sekiranya perlu", katanya pada Isnin.

Penangguhan itu dibuat bagi memberi laluan kepada peguam yang mewakili pihak kuil untuk memberikan respon balas terhadap kedua-dua afidavits yang dikemukakan oleh peguam Syazlin Mansor mewakili Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia serta wakil peguam keluarga Allahyarham Muhammad Adib, Kamaruzzaman A. Wahab.

Perkara ini selepas pihak Timbalan Pendakwa Raya mengemukakan dua afidavit sokongan bagi permohonan pihak mereka.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan tidak menetapkan sebarang tarikh sehingga diberitahu tarikh bersesuaian untuk mendengar semula perbicaraan.

Bagaimanapun peguam mewakili pihak jawatankuasa kuil, M.Visvanathan menyifatkan affidavits yang dikemukakan pihak Timbalan Pendakwa Raya sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara.

"Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan perlu beri penjelasan kenapa beri arahan kepada peguam untuk failkan afidavits yang menghalang rayuan pihak kami, saya rasa perkara ini tidak wajar dan tidak mengikuti lunas undang-undang", katanya selepas ditemui di perkarangan mahkamah.

Tambahnya, pihak berkepentingan bagi prosiding inkues itu tidak mempunyai hak untuk menghalang individu lain yang berkepentingan untuk mengikuti prosiding itu dan ia bertentangan dengan sistem perundangan serta menimbulkan persoalan.

Prosiding Inkues Muhammad Adib Mohd Kassim difahamkan bersambung semula 19 Mac selepas diputuskan oleh Koroner, Rofiah Mohammad minggu lalu. Setakat ini 19 saksi telah tampil memberi keterangan.

Muhammad Adib didakwa mengalami kecederaan parah ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ25 pada 27 November lalu sebelum meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara
pada 17 Dis 2018.