Peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam prosiding inkues kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim memberitahu Mahkamah Koroner bahawa penggantinya akan ditentukan pihak KPKT dan Jabatan Peguam Negara.

"Saya difahamkan pihak KPKT dan bomba kekal dalam prosiding ini. Saya yakin Peguam Negara akan bincang bersama kementerian siapa yang akan ganti saya," katanya kepada Koroner Rofiah Mohammad.

Syazlin yang ditanya beberapa soalan oleh pihak media berhubung alasan beliau menarik diri dari sesi prosiding ini, bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada menteri.

Selain beliau, saksi ke-29, bekas Pakar Forensik HUKM, Prof Dr Shahrom Abdul Wahid juga enggan mengulas mengenai kedudukan yang terbatal sebagai saksi pakar bagaimanapun ia masih terpulang kepada keputusan koroner jika keterangannya masih diperlukan pihak mahkamah.

Syazlin pada sesi awal prosiding pada Isnin membuat keputusan untuk menarik diri pada sesi prosiding yang telah masuk hari ke 37 di hadapan Koroner Rofiah Mohammad.