Tutup

Inkues Adib: Pemuda Pas, NGO tuntut Tommy Thomas letak jawatan

Inkues Adib: Pemuda Pas, NGO tuntut Tommy Thomas letak jawatan
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, mendesak Tommy agar tidak membuat rayuan semula terhadap keputusan kes inkues berkenaan. - Foto Astro AWANI/Rahimah Abdullah
SHAH ALAM: Dewan Pemuda Pas Malaysia menuntut Peguam Negara, Tommy Thomas dipecat atau direhatkan sehingga keadilan terhadap kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dapat ditegakkan sepenuhnya.

Pada masa sama, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, mendesak Tommy agar tidak membuat rayuan semula terhadap keputusan kes inkues berkenaan.
“Kami berasa sangat bersyukur kerana keputusan koroner bahawa kematian adalah disebabkan jenayah. Kami menuntut agar Tommy Thomas dipecat atau direhatkan sehingga keadilan untuk Adib dapat ditegakkan.


“DPPM juga mendesak agar polis memanggil semula tertuduh yang pernah dilepaskan dan memulakan proses pendakwaan mahkamah,” katanya kepada media di luar mahkamah Shah Alam pada Jumaat yang turut dihadiri, Exco Pemuda Malaysia, Muhammad Faiz Hashim.

Gesaan sama turut dibuat NGO, Gagasan Rakyat Malaysia 7 (Geras 7).

Kata Presidennya, Abu Bakar Mohamed, Tommy gagal memberikan keadilan kepada Muhammad Adib.

“Kita sudah ada pakar bedah siasat, forensik, jadi inkues ini untuk apa? Tidak ada tujuan pun,” katanya.


Namun, walau apa pun keputusan mahkamah beliau tetap mahu Tommy meletak jawatan.

“Ini kerana kita tidak hendak negara kita jadi huru-hara, kita tidak hendak negara kita jadi macam Syria yang menjadi barua kepada kuasa besar Barat,” tambahnya.

Selepas keputusan dibuat mahkamah koroner berhubung inkues Muhammad Adib, himpunan dibuat NGO di luar perkarangan mahkamah Shah Alam dilaporkan berjalan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.


Bagaimanapun, hanya berlaku sedikit gangguan teriakan semasa sidang media Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dimana sekumpulan individu cuba menjejaskan temubual berkenaan .

Kawalan pihak polis yang cukup mantap memastikan keadaan sentiasa terkawal.


Tag: Tommy Thomas, Malaysia, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, Muhammad Adib Mohd Kassim, inkues Adib



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.