Tutup

Inkues Adib: Permohonan pihak kuil ditangguh kali ketiga

Inkues Adib: Permohonan pihak kuil ditangguh kali ketiga
Protes di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield November lalu. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 15 April bagi mendengar semula permohonan Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 untuk menjadi sebahagian pihak berkepentingan dalam Prosiding Inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ia sekali gus menjadikan penangguhan kali ketiga oleh pihak Mahkamah Rayuan.

Perkara itu diputuskan selepas pihak Timbalan Pendakwa Raya mengemukakan satu afidavit tambahan terhadap pihak kuil yang disifatkan menarik oleh wakil peguam pihak kuil, M. Visvanathan.

"Memandangkan permohonan untuk tangguh dibenarkan, pihak kami akan kaji semula afidavit yang telah difailkan sebab afidavit ini agak menarik dan memerlukan masa untuk balas," katanya ketika ditemui media.
Tambahnya, pihaknya mempunyai hak untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Koroner sekiranya mendapat status berkepentingan dalam prosiding itu.

"Walaupun prosiding inkues sedang berjalan dan meskipun dah ada keputusan, pihak kami, sekiranya diberi status berkepentingan, boleh ke Mahkamah Tinggi untuk membuat kajian semula terhadap keputusan Mahkamah Koroner dan ia tidak bermaksud prosiding itu akan berakhir," katanya lagi.
Tarikh berkenaan juga akan mendengar semula permohonan dari pihak Timbalan Pendakwa Raya yang ingin membatalkan rayuan yang dikemukan oleh pihak kuil.

Sekiranya permohonan pihaknya berjaya, maka rayuan pihak kuil termasuk ingin menangguhkan prosiding inkues akan terbatal serta-merta menurut Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah.

Muhammad Adib didakwa mengalami kecederaan parah ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ25 pada 27 Nov lalu sebelum meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara pada 17 Dis lepas.

Prosiding Inkues akan bersambung semula Rabu depan di Mahkamah Koroner Shah Alam.





Tag: Mahkamah Rayuan, bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, inkues adib



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.