Saksi ke-28 prosiding inkues kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mencadangkan agar Mahkamah Koroner memanggil (sepina) Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebagai saksi bagi prosiding inkues ini.

Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Subang Jaya, Lew Keng Jow berkata demikian sebagai respon kepada peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Ahmad Taufiq Baharum yang mempersoalkan kenyataan Ketua Polis Negara berhubung dakwaan anggota bomba itu dipukul perusuh.

"Awak mahu saya rakam keterangan IGP? Mungkin awak patut sepina IGP dan tanya beliau sendiri.

"Saya tidak pasti mengapa IGP keluarkan kenyataan itu, saya sedar kenyataan itu adalah penting tetapi tidak begitu membantu siasatan dan mungkin dia ada berjumpa bomba," katanya kepada peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib.

29 November lalu, Mohamad Fuzi menerusi kenyataannya menegaskan dakwaan Muhammad Adib cedera akibat dilanggar dan bukannya dipukul ketika insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 adalah tidak benar.

Tambah Lew, berdasarkan keterangan kesemua saksi yang telah dipanggil juga tidak melihat atau memberitahu bawaha Muhammad Adib telah diserang perusuh.

"Saya tidak dimaklumkan oleh saksi yang mangsa (Adib) dipukul, kami difahamkan mangsa cedera akibat dipukul tetapi tiada saksi yang tampil menceritakan melihat Adib dipukul," katanya lagi.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohammad pada sesi petang Rabu tamat sekitar jam 5 petang.