Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang dibenarkan untuk memberi keterangan semula pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyangkal beberapa fakta yang dibentangkan pakar lain sebelum ini.

Antara lain, beliau membidas teori bekas pakar forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Dr Sharom Abdul Wahid berhubung pengiraan daya yang mencederakan dada kanan Muhammad Adib.

Saksi ke-24 itu, yang tidak bersetuju dengan teori tersebut, mendakwa terdapat kesilapan dari segi pengiraan teori daya serta faktor keadaan Van EMRS yang tidak diambil kira, termasuk berat dan pergerakan kenderaan itu.

"Saya setuju dengan formula yang digunakan, berdasarkan daya 3300 newton diperlukan untuk mematahkan tulang rusuk, namun saya dapati pengiraan oleh Dr Sharom adalah tidak tepat," katanya kepada Mahkamah Koroner.

Menurutnya, berat Van EMRS tanpa sebarang muatan mencecah 1800 kilogram dan ia mampu untuk menolak Allahyarham Muhammad Adib sehingga jatuh tersembam yang mampu mengakibatkan kepatahan pada tulang rusuk dada kanannya.

"Pengiraan yang diutarakan Dr Sharom tidak tepat. Dalam kes ini, kenderaan EMRS tersebut sedang mengundur, pintu kiri hadapan terbuka dan mengenai belakang kiri mangsa," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, pada hari ke-32 prosiding inkues ini, Dr Ahmad Hafizam turut menyentuh kesan lebam segi tiga pada lengan Muhammad Adib seperti yang didakwa Dr Sharom, yang juga saksi ke-29.

Katanya, ia tidak wujud berdasarkan penelitiannya terhadap struktur daun pintu Van EMRS pada 12 April lalu.

Malah, tambahnya, struktur pada daun pintu kiri Van EMRS itu juga turut tidak berpadanan dengan corak kecederaan yang berbentuk segi tiga pada lengan mangsa.

Dr Ahmad Hafizam dalam keterangannya juga mengkritik proses lakonan semula yang dijalankan oleh Dr Sharom, yang menurutnya, sepatutnya perlu mengkhususkan pada hentakan daun pintu Van EMRS berkenaan yang terkena pada dada anggota bomba itu.

"Seharusnya, kecederaan yang terhasil bukan sekadar pada dada, malah abdomen depan dan bahagian belakang juga penting untuk diambil kira," katanya.

Dr Ahmad Hafizam kembali memberi keterangan pada sesi prosiding inkues selepas Mahkamah Tinggi meluluskan permohonan pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah, untuk memanggilnya semula.

Pada 30 April lalu, Hamdan memberitahu mahkamah kemungkinan Koroner terkhilaf dalam keputusannya sebelum ini apabila tidak bertanya lanjut kepada pihaknya jika terdapat saksi lain yang hendak dipanggil setelah mendengar keterangan Dr Shahrom Abd Wahid.

Pada 23 April lalu, Mahkamah Koroner memutuskan untuk tidak memanggil semula Dr Ahmad Hafizam atas alasan tiada keperluan dan telah memperoleh keterangan yang mencukupi.

Kehadiran Dr Ahmad Hafizam pada Jumaat bertujuan untuk memperjelaskan keterangan yang dibuat oleh Dr Sharom yang dikatakan bercanggah dengan dapatannya sebagai pakar yang bertanggungjawab menjalankan bedah siasat kepada Muhammad Adib pada 18 Disember 2018.

Dr Ahmad Hafizam akan menyambung semula keterangannya minggu depan di hadapan Koroner Rofiah Mohammad.

Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan pegawai pengendali untuk membawa van EMRS yang berlainan ke perkarangan mahkamah bagi menguji kelajuan van berkenaan pada Rabu depan.