Inkues Adib: Usaha buru suspek serang jentera bomba sukar, video tidak jelas - Saksi

Inkues Adib: Usaha buru suspek serang jentera bomba sukar, video tidak jelas - Saksi
SHAH ALAM: Pihak polis masih lagi dalam usaha memburu kesemua suspek terlibat yang menyerang jentera Fire Rescue Tender (FRT) ketika malam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 November lalu.

Bagaimanapun, usaha itu menghadapi sedikit kesukaran ekoran keadaan video yang tular mengenai kejadian itu kelihatan kurang jelas meskipun telah dianalisa pihak forensik kata Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Subang Jaya, Lew Keng Joe.

"Setakat ini kita masih dalam tindakan (siasatan) pihak polis boleh dikatakan kita masih belum dapat mengesan suspek utama seperti yang pecahkan cermin trak jentera kita masih jalankan risikan mengesan mereka".

“Boleh ada nampak dalam video tapi gambar sebenar muka tidak jelas sebab pecah-pecah,” katanya kepada Mahkamah Koroner.
Sehingga kini belum ada tangkapan suspek yang bertindak menyerang jentera FRT pada hari kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman.

Operasi memburu suspek menggunakan video yang tular dirakam oleh salah seorang saksi pada prosiding ini iaitu Hardeep Singh yang menunjukkan keadaan jentera bomba diserang perusuh ketika kejadian.

"Analisa forensik terdapat pembesaran imej dan tidak begitu memuaskan kerana gambar pecah-pecah jadi tidak nampak sangat," katanya.

Saksi ke-28 pada sesi prosiding yang masuk hari ke-22 itu turut mengesahkan bahawa individu yang dikatakan berada antara jentera FRT dan Van EMRS itu bukan Muhammad Adib berdasarkan rakaman video berkenaan.

"Hazim (anggota bomba) telah mengesahkan itu adalah dirinya (ketika kejadian) selepas rakaman percakapannya diambil", katanya.

"Untuk itu, dakwaan pelbagai pihak yang mengatakan kelibat anggota bomba itu adalah Muhammad Adib tidak benar," katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin dihadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Turut hadir prosiding pada Rabu merupakan saksi awal iaitu lima anggota bomba yang terlibat  serta saksi awam yang ketujuh iaitu R. Naresh untuk tontonan semula video.