Hampir 300 peserta telah mengambil bahagian dalam program Creation, Innovation Technology & research Exposition (CITREX) 2018 kali keenam yang telah dianjurkan di Kompleks Sukan Universiti, Universiti Malaysia Pahang minggu lalu.

Naib Canselor UMP Prof Dato Seri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim menyatakan bahawa skala penganjuran Citrex akan diperluaskan pada tahun akan datang dan disertakan dengan pembukaan kategori baharu yang khusus untuk sekolah dan institusi TVET seperti politeknik serta kolej komuniti.

"Pengembangan skala ini bukan sahaja signifikan dari sudut pembudayaan inovasi dan kreativiti tetapi ianya juga merupakan sebahagian daripada sumbangan UMP bagi memperkukuh pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah.

"Dalam jangka panjang, manfaat akan diperoleh dari segi peningkatan minat penuntut sekolah terhadap STEM, yang akan mempengaruhi mereka dalam memilih kursus dan institusi pengajian di peringkat pendidikan tinggi akan datang," katanya.

Tambah beliau, ia bertepatan dengan slogan Memasyarakatkan Teknologi bagi Pelan Strategik UMP 2016-2020, dan tumpuan diberikan kepada potensi pengkomersilan produk yang memberi manfaat kepada pengguna dan masyarakat secara keseluruhannya.

CITREX merupakan sebuah pertandingan penyelidikan peringkat universiti yang menghimpunkan produk-produk penyelidikan staf dan mahasiswa UMP dari pelbagai fakulti sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Antara hasil yang menarik ialah produk papan selaju mudah alih yang bergerak menggunakan tenaga elektrik dengan menggunakan teknologi solar sebagai sumber tenaga.

Produk ini adalah hasil daripada mahasiswa dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Tee Siau Thung, Tng Wam Chen, Sim Chun Kiat dan Nur Fatin Syahira Rozak.

Selain itu terdapat juga sabun anti bakteria yang menggunakan propolis daripada lebah yang dihasilkan oleh mahasiswa dari Fakulti Teknologi Kejuruteran jurusan farmaseutikal, Viviana Abdullah dan Kong Yee Tong.

Produk yang memenangi Anugerah Terbaik Pelajar CITREX 2018 ialah kapsul yang diekstrak daripada daun gelenggang yang digunakan bagi merawat sembelit, yang diusahakan oleh pensyarah serta mahasiswa daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli iaitu Prof Madya Dr. Jolius Gimbun, Dr Pang Sook Fun, Chong Sin Yee dah Yeong Yi Ling.

Bagi Anugerah Terbaik Kategori Staf pula dimenangi oleh pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UMP, Ir Dr Mohd Fairusham Ghazali yang membangunkan sistem yang dikenali sebagai Aldelos.

Sistem ini dapat membantu untuk mengesan kekurangan air dalam sistem perpaipan yang memerlukan kos yang lebih rendah.

________________________________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers UMP, Nazmi Nasir dan suntingan oleh Mimi Rabita PNC dari Universiti Malaysia Pahang (UMP)

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

***AwaniRangers UMP ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Malaysia Pahang.