KUALA LUMPUR:Kementerian Kerja Raya akan menentukan bentuk tindakan yang perlu diambil selepas semua keputusan siasatan diperolehi berhubung insiden konkrit pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menimpa sebuah kereta, 22 September lalu.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu juga akan memperhalusi aspek penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang khususnya di tapak bina.

"Apabila kita sudah dapat laporan penuh daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), kita akan tentukan bentuk tindakan dan apakah penambahbaikan yang perlu diambil.

"Semua itu akan dinilai sama ada akan dijadikan lesen yang perlu ditambah baik setiap kelemahan khususnya daripada segi bentuk, kaedah pelaksanaan termasuk peranan profesional seperti konsultan di tapak pembinaan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) 2021-2025 di sini pada Selasa.

Susulan insiden konkrit di tapak projek SUKE jatuh menimpa sebuah kenderaan, Ketua Pengarah abatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), Ir Omar Mat Piah berkata, pihaknya memerlukan tempoh sebulan bagi menjalankan siasatan menyeluruh.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, tindakan membabitkan insiden berkenaan turut termasuk dalam program transformasi industri pembinaan (PTIP).

"Menerusi program itu, JKR antara sebahagian agensi pelaksana yang akan mematuhi transformasi besar dan dibangunkan oleh CIDB dengan melihat secara keseluruhan sektor pembinaan.

"Ini merupakan salah satu fokus dalam perspektif keselamatan, sebab itu (insiden SUKE) masih belum memuktamadkan siasatan," jelasnya.


Sebelum ini, media melaporkan insiden panel konkrit bersaiz satu meter persegi daripada kerja-kerja pembinaan SUKE, terjatuh menghempap kereta jenis Proton Saga BLM yang sedang dipandu seorang wanita di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Terminal Bersepadu Selatan dalam kejadian kira-kira 5.45 petang.

Bagaimanapun, mangsa berusia 25 tahun itu diselamatkan orang awam dan hanya cedera di tangan kirinya sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menerima rawatan.