Tutup

Insiden pergaduhan kuil terkawal, usah jadikan isu besar - Polis

Insiden pergaduhan kuil terkawal, usah jadikan isu besar - Polis
Menurut Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat kejadian itu hanya melibatkan dua kumpulan yang bertindak di luar kawalan sehingga mencetus pergaduhan. - Foto PDRM
KUALA LUMPUR: Masyarakat diminta untuk tidak membesarkan isu pergaduhan di antara dua kumpulan di Kuil Kaliamma, Bestari Jaya, Kuala Selangor, pada Ahad malam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat kejadian itu hanya melibatkan dua kumpulan yang bertindak di luar kawalan sehingga mencetus pergaduhan.

“Dalam kes yang berlaku semalam, pada pandangan saya hanyalah perkara terpencil di antara dua kumpulan yang tidak berpuas hati isu pemasangan khemah dan mungkin kemarahan itu tidak dapat dikawal seterusnya melarat menjadi pergaduhan yang agar besar.
“Bagaimanapun, perkara itu telah dapat kita kawal dan tidak melarat di mana-mana pun malah kita telah mengenal pasti kesemua mereka yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Isnin.

BACA: 28 ditahan susulan insiden pergaduhan di kuil Bestari Jaya - Polis

Terdahulu, dalam kejadian di Bestari Jaya itu, seorang anggota polis tercedera di bahagian tangan dan menerima enam jahitan selepas diserang ketika cuba mententeramkan pergaduhan antara dua kumpulan.

Setakat ini seramai 28 individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan tersebut.

Sementara itu, Fadzil meminta masyarakat yang mahu menjalankan sebarang aktiviti keagamaan dan sebagainya untuk mendapat kebenaran Ketua Polis Daerah di kawasan mereka.

“Kes semalam memang ada kebenaran pihak polis, tetapi yang paling penting adalah mematuhi arahan pihak berkuasa yang bertugas supaya kita dapat mengelakkan sebarang masalah sebegini di masa akan datang,” jelas beliau.

Tambah beliau, pihak polis masih sedang mendapatkan permohonan reman daripada mahkamah terhadap kesemua 28 suspek dan masih sedang memburu mereka yang telah dikenal pasti terlibat dalam pergaduhan tersebut.

Tag: Masyarakat, kumpulan, pergaduhan, Kuil Kaliamma, Bestari Jaya, Kuala Selangor, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat, terpencil, khemah, melarat, Muhammad Adib Mohd Kassim, keselamatan, polis, mahkamah


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.