Keputusan untuk menutup atau meneruskan sesi persekolahan Sekolah Agama Taman Mawar di sini pada Ahad, hanya akan dibuat selepas Jabatan Agama Islam Johor memperoleh maklumat penuh dari pihak berkaitan mengenai keadaan kualiti udara di sekolah dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi berkata maklumat dijangkakan diperoleh selewatnya esok bagi mengetahui tahap keselamatan sekolah berkenaan.

"Kita akan tunggu dan tengok maklumat yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar yang mengendalikan kes ini.

Sekiranya keadaan kualiti udara baik maka tiada keperluan untuk menutup sekolah," kata beliau kepada pemberita selepas memberikan sumbangan Majlis Agama Islam Johor kepada enam murid Sekolah Agama Taman Mawar yang dirawat di Hospital Sultan Ismail susulan insiden sesak nafas dipercayai akibat pencemaran udara, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan, sama ada sekolah agama tersebut akan ditutup pada Ahad ini atau sebaliknya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu keenam-enam murid sekolah itu yang dirawat dan dimasukkan ke wad HSI mungkin akan dibenarkan pulang lewat hari ini atau dalam tempoh terdekat, selepas didapati berada dalam keadaan stabil.

"Saya mendapati keadaan semua mangsa mampu berkomunikasi dengan baik dan boleh bergerak. Jadi mungkin boleh pulang hari ini atau dalam tempoh terdekat," katanya.

Berhubung sumbangan diberikan pula, Tosrin berkata setiap mangsa yang dimasukkan ke wad diberikan bantuan segera sebanyak RM400 manakala yang mangsa lain yang tidak dirawat diberikan RM200.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Azman Adnan dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya telah memastikan semua sekolah di kawasan berhampiran mengambil inisiatif berjaga-jaga untuk menangani kemungkinan kesan daripada insiden berkenaan.

Pada masa sama, pihaknya juga akan terus memantau perkembangan kes bagi menentukan tindakan susulan.

-- BERNAMA