Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra) menyifatkan penularan video Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat berkenaan, Khairi Makmur menengking pekerja ladang telah mencetuskan salah faham dalam kalangan netizen.

Realitinya, kejadian tengking itu disebabkan Khairi gagal mengawal emosinya dalam usaha memberi motivasi kepada pekerja-pekerja ladang untuk membina semula jenama syarikat berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felcra, Mohd Nazrul Izam, netizen dan orang ramai seharusnya memahami bahawa syarikat berkenaan sedang giat melaksanakan perubahan cara kerja kepada pekerja-pekerja mereka.

Berikutan terlalu ghairah memperkenalkan perubahan selain berusaha untuk membina jenama Felcra, Khairi, jelas Mohd Nazrul, bertindak sedemikian.

“Apa yang perlu kita faham adalah Felcra dalam proses untuk mengubah cara kerja.

“Jadi mungkin beliau (Khairi) gagal mengawal emosinya ketika perjumpaan bersama pekerja bawahan pada hari kejadian,” katanya kepada pemberita selepas sidang media di Wisma Felcra, di sini pada Rabu.

Beberapa hari lalu, sebuah video memaparkan seorang lelaki yang dipercayai menengking pekerja di sebuah ladang kelapa sawit sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen.

Sedutan daripada sebuah klip video tersebut menunjukkan Khairi meninggikan suara kepada seorang kakitangan wanita.

Dalam kejadian yang berlaku ketika sesi latihan di ladang itu pada 2 Mac lalu, Khairi juga dilihat memberi penjelasan mengenai penggunaan semula beg baja sebelum meninggikan suaranya.

Sementara itu, Felcra juga telah memuat naik klip video mengenai sesi pembelajaran di dalam ladang sempena Siri Kembara di FELCRA Berhad Projek Kampung Serambi, Pekan, Pahang.


Dalam rakaman tersebut, wanita yang dimarahi itu berkata tengking sudah menjadi perkara “lumrah” bagi pekerja industri perladangan.

Mengulas lanjut, Mohd Nazrul berkata, pihaknya kini dalam proses menyelesaikan isu tersebut secara dalaman.

Kata beliau, sebarang tindakan susulan akan diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah, pada Khamis.

“Isu bukan isu besar dan ini pertama kali insiden sebegini menjadi tular.

“Pendekatan kerja dalam industri lain berbeza dengan sektor perladangan,” katanya.