Internet dalam memacu sistem pengangkutan awam

Internet dalam memacu sistem pengangkutan awam
jika teknologi terus berkembang pesat, sudah pasti manfaat daripada sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja menguntungkan rakyat tetapi juga negara. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Untuk meningkatkan tahap keefisienan pengangkutan awam, internet digunakan dalam penyampaian perkhidmatan tersebut di China.

Pengarah Kanan Jabatan Strategi Ant Financial, Sun Tao berkata integrasi internet yang dilakukan dalam sistem pengangkutan awam di China bukan sahaja telah meningkatkan operasi perkhidmatan tersebut tetapi juga menarik lebih ramai rakyat di sana untuk menggunakannya.

"Sebagai contoh, kaedah pembayaran dengan hanya menggunakan Kod QR yang dimiliki setiap telefon pintar memudahkan pengguna untuk membeli tiket.
"Selain itu, real-time data ataupun maklumat terkini mengenai kesesakan lalu lintas juga membantu pengguna untuk merancang perjalanan dari satu destinasi ke destinasi yang lain," kata beliau.

Tambahnya, jika teknologi terus berkembang pesat, sudah pasti manfaat daripada sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja menguntungkan rakyat tetapi juga negara.

"Pernah dilaporkan sebelum ini bahawa sesebuah negara mengalami kerugian sebanyak dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) hanya melalui kesesakan lalu lintas.

"Jadi, jika ia dapat dikurangkan, sudah pasti kualiti hidup rakyat akan meningkat dan seterusnya menjana produktiviti," kata Sun Tao.

Beliau merupakan antara ahli panel yang dijemput untuk berbincang mengenai pembinaan bandar pintar dan bagaimana penggunaan teknologi terkini membantu dalam pembangunan bandar yang lestari.

Selain beliau, terdapat juga wakil daripada negara lain seperti Sepanyol dan Jepun yang membincangkan mengenai agenda dan perancangan mereka dalam pembangunan bandar pintar.