Interpol akan menggunakan pejabat serantau di Singapura untuk mempertingkat kerjasama dengan Malaysia dalam membanteras jenayah rentas sempadan terutama jenayah siber, demikian menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri di sini, Sabtu.

Kenyataan itu menjelaskan, komitmen Interpol itu dizahirkan semasa pertemuan antara menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Setiausaha Agung Interpol Jurgen Stock di New York, Amerika Syarikat pada Jumaat.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan kerja ke Amerika sejak 26 Mei lalu hingga 1 Jun sempena Taklimat Terbuka Peringkat Menteri Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pejuang Pengganas Asing di New York.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa peralatan moden dan peningkatan aspek bina upaya amat signifikan bagi menangani ancaman jenayah selain kerjasama daripada masyarakat tempatan.

Kenyataan itu menyebut isu lain yang dibincangkan adalah tentang aspek kepolisan moden dan keperluan perkongsian maklumat dengan Interpol terutama mengenai peningkatan bilangan pejuang asing ke Iraq dan Syria.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya pada sesi taklimat menegaskan walaupun Akta Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 adalah undang-undang pencegahan, tetapi aspek pemulihan atau deradikalisasi turut diberi tumpuan supaya individu terbabit dapat kembali ke pangkuan masyarakat.

"Pendekatan ini turut digunakan semasa pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1969 yang telah dimansuhkan," kata Zahid.

Beliau turut berkongsi maklumat bahawa sejak Feb 2013 sehingga kini, seramai 107 individu terdiri daripada 87 lelaki dan 20 wanita termasuk 16 warga asing ditahan kerana terlibat dengan kumpulan militan IS.

Tambah Zahid 63 warga tempatan telah pergi ke Syria serta Iraq dan 11 rakyat Malaysia terkorban di negara berkenaan.

Mengenai pengukuhan keselamatan sempadan negara, Ahmad Zahid menyatakan tentang perancangan Kuala Lumpur untuk melaksanakan sistem pemeriksaan penumpang bagi menyaring kemasukan pelawat asing ke Malaysia yang turut meliputi semakan komprehensif sistem imigresen negara.

Diperingkat serantau pula, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015 dan bakal Pengerusi Mesyuarat ke-10 Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan akan menganjurkan satu mesyuarat Khas ASEAN mengenai Kebangkitan Radikalisasi dan Keganasan Ekstremis pada 2 Okt depan.