IPCMC: PM sedia dengar pandangan semua pihak

IPCMC: PM sedia dengar pandangan semua pihak
Dr Mahathir ketika hadir bagi merasmikan Platform Digital e-Dagang BOCE Malaysia/ASEAN di PICC Putrajaya, hari ini. Astro AWANI/SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Kerajaan akan mendengar dan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berhubung penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata, ia termasuk pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendengar pandangan, cadangan atau bantahan mengenai isu berkenaan.

"Ini kerana ada pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan IPCMC.

"Kita akan mendengar pandangan umum sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Platform Digital e-Dagang BOCE Malaysia/ASEAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Khamis.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan mengatur pertemuan dengan Perdana Menteri bagi menyampaikan bantahan terhadap hasrat untuk memberi kuasa kepada IPCMC bagi menangani masalah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang, dan bukan sekadar memberi syor tatatertib.

Isu tersebut menarik perhatian lebih 145,000 warga PDRM sama ada yang masih atau sudah tamat berkhidmat.

Pada 19 Mac lalu, Mohamad Fuzi memaklumkan pihaknya akan menyerahkan memorandum berkaitan IPCMC kepada kepimpinan kerajaan dalam masa terdekat.

Jelas beliau, memorandum hasil daripada perbincangan menerusi Persidangan Agung Tergempar Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) itu masih dalam proses penelitian bagi memastikan ia dirangka secara menyeluruh.

Pada 13 November lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah meminta kerajaan menyatakan garis masa bagi penubuhan IPCMC dan langkah bagi memastikan ia benar bebas serta mempunyai kuasa menangani masalah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang, selain bukan sekadar memberi syor tatatertib seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum ini.