Tutup

IPU di Sri Aman menurun, empat kawasan baharu sangat tidak sihat

IPU di Sri Aman menurun, empat kawasan baharu sangat tidak sihat
Pemandangan dari udara bandar Sri Aman yang berjerebu dirakam pada 7 pagi ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kualiti udara di Sri Aman, Sarawak, menunjukkan penurunan daripada peringkat bahaya kepada sangat tidak sihat pagi ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bandar berkenaan menurun daripada 396 malam tadi kepada 239 pada 8 pagi ini.
Tinjauan Bernama mendapati tahap penglihatan di bandar Sri Aman semakin baik dan jelas berbanding beberapa kawasan di pinggir bandar berkenaan, antaranya di Kampung Lingga yang masih terhad tahap penglihatan.

Keadaan itu dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan di kawasan sekitar antaranya di Kampung STC yang berkeluasan 25 hektar (63 ekar).
Semalam, pihak bomba melaporkan terdapat kebakaran hutan di kampung berkenaan dan usaha memadamkan kebakaran sedang giat dijalankan.

Sementara itu, Balik Pulau di Pulau Pinang dan tiga kawasan di Selangor - Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang - merupakan kawasan baharu mencatat IPU sangat tidak sihat setakat 8 pagi ini.

Mengikut data daripada portal APIMS, Balik Pulau mencatat bacaan 211, manakala Petaling Jaya (204), Shah Alam (220) dan Klang (202).

Turut kekal mencatat bacaan sangat tidak sihat ialah Johan Setia Klang (256) di Selangor, Nilai (211) di Negeri Sembilan dan Putrajaya (203).

Selain itu, 34 kawasan mencatat bacaan tidak sihat di seluruh negara dengan IPU melebihi 101 iaitu Kulim Hi-Tech (153) di Kedah, tiga kawasan di Pulau Pinang melibatkan kawasan Seberang Jaya (139), Seberang Perai (143) dan Minden (191).

Empat kawasan di Perak turut merekod bacaan tidak sihat iaitu Taiping (180), Tasek Ipoh (139), Pegoh Ipoh (128) dan Seri Manjung (197).

Kawasan lain yang turut mencatat kualiti udara tidak sihat ialah Cheras (187), Batu Muda (191), Kuala Selangor (196) dan Banting (188).

Dua kawasan di Negeri Sembilan pula ialah Seremban (174) dan Port Dickson (159) selain Alor Gajah (173), Bukit Rambai (144) dan Bandaraya Melaka (130) di Melaka turut mencatat bacaan tidak sihat.

Turut merekod bacaan tidak sihat ialah enam kawasan di Johor iaitu Segamat (143), Batu Pahat (109), Kluang (108), Larkin (124), Pasir Gudang (102) dan Tangkak (123), selain dua kawasan di Pahang melibatkan Temerloh (123) dan Jerantut (112).

Sembilan kawasan di Sarawak turut mencatat IPU tidak sihat iaitu ILP Miri (120), Miri (125), Samalaju (102), Bintulu (120), Mukah (137), Sibu (166), Sarikei (157), Samarahan (154) dan Kuching (173).

Sementara itu, 25 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

-- BERNAMA