Keadaan jerebu di negeri ini semakin teruk, khususnya di daerah Barat Daya, apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu berada di tahap sangat tidak sihat hari ini, memaksa penutupan sementara 51 buah sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dalam kenyataan memaklumkan, semakan dengan Jabatan Pendidikan Negeri pagi ini mendapati, arahan penutupan sekolah tersebut dikeluarkan kira-kira jam 7.20 pagi ini.

Sehubungan itu, jelasnya, pihak itu menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang memantau proses penutupan sekolah tersebut.

Setakat jam 9 pagi ini, kualiti udara di Balik Pulau dicatatkan pada paras sangat tidak sihat apabila bacaan IPU di stesen itu direkodkan pada 218, meningkat berbanding 211 pada jam 7 pagi tadi.

Sementara itu, bacaan di stesen Minden, USM juga menghampiri paras sangat tidak sihat iaitu 197, manakala stesen Seberang Jaya dan Seberang Perai dicatatkan tidak sihat, iaitu masing-masing 144 dan 149 setakat jam 9 pagi .