Dalam keghairahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan bantuan, Islamic Relief Malaysia (IRM) memaklumkan pihaknya akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berpendapat, adalah penting bagi mengurangkan hubungan fizikal dalam memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikekang.

Menurut beliau, semua NGO termasuk IRM ketika ini berdepan dengan pengalaman dan cabaran baharu.

Bagaimanapun, pihaknya, kata beliau, komited mencari kaedah lain untuk menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.

“Dalam konteks IRM, pengalaman atau polisi kita buat masa ini ialah petugas-petugas Islamic Relief dan sukarelawan-sukarelawan diberikan arahan supaya bekerja dari rumah dan kita akur dengan arahan PKP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Namun, itu tidak bermakna kita berputus asa atau tidak memikirkan bagaimana bantuan ini boleh disampaikan.

“Kita sentiasa memikirkan cara-cara lain dan umtuk memastikan apa sahaja bantuan yang boleh kita bantu dan salur dapat sampai kepada penerima manfaat, sekurang-kurangnya di bawah kawalan Islamic Relief,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Selasa.

Zairulshahfuddin berkata demikian sebagai mengulas arahan kerajaan agar pihak NGO menghentikan agihan bantuan makanan sebagai langkah mengelakkan mereka terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Mengulas lanjut, beliau berkata, IRM yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam menyalurkan bantuan kecemasan dan kemanusiaan di lebih 45 buah negara sentiasa menghormati budaya setempat.

Justeru, beliau akui bahawa kebanyakan NGO ketika ini berdepan dengan dilema – iaitu untuk memberikan agihan bantuan secara efektif dan berkesan, selain pada masa sama mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Kita perlu memperseimbangkan larangan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa buat masa ini dan juga keghairahan pihak NGO untuk keluar memberikan bantuan.

“Perbincangan berlaku secara telus setiap hari antara pelbagai pemegang tara khususnya pihak jabatan kerajaan yang terlibat.

“Perbincangan budaya itu telah lama berlaku dan kita yakin satu jalan penyelesaian terbaik dengan situasi menang-menang dapat dicapai (dengan pihak kerajaan),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak yang menyalurkan sumbangan kepada Tabung Rayuan Kecemasan COVID-19.

Katanya, sumbangan tersebut telah disalurkan kepada penerima termasuk petugas barisan hadapan dan hospital-hospital yang terkesan akibat pandemik COVID-19.