Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dijangka dihadap ke mahkamah pada Jumaat berhubung sebuah hotel di Kuching yang dibeli oleh Felda Investment Corporation (FIC), lapor The Star.

Manakala sumber yang rapat dengan siasatan SPRM memberitahu Malaysiakini, Isa akan akan didakwa di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

"Mengikut perancangan, dia (Isa) akan didakwa esok ... berhubung (pembelian) hotel di Sarawak," kata sumber berkenaan.

Isa hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi Khamis untuk memberi keterangan akhir sebelum didakwa di mahkamah pada Jumaat.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu telah ditahan dan disiasat oleh SPRM selama lima hari pada Ogos berhubung pembelian hotel di Kuching dan London.

Pembelian dua buah hotel tersebut disiasat SPRM berikutan harga yang melebihi harga asal sehingga menyebabkan FIC mengalami kerugian berjuta-juta ringgit.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel di Kuching pada harga RM160 juta (lebih RM50 juta dari harga sebenar) manakala hotel di Kensington, London, pada harga £60 juta (kira-kira RM317 juta) pada 16 Disember 2014.