Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, akan didakwa hari ini (Jumaat, 14 Disember) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes pembelian hotel oleh FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Mohd Isa dilihat tiba di kompleks mahkamah sekitar jam 8.35 pagi.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam satu kenyataan pada Khamis, proses mendakwa Mohd Isa itu dilaksanakan selepas mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara.


“Beliau akan dituduh pada jam 9 pagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung siasatan kes pembelian hotel oleh FIC," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu telah ditahan dan disiasat oleh SPRM selama lima hari pada Ogos berhubung pembelian hotel di Kuching dan London.

Pembelian dua buah hotel tersebut disiasat SPRM berikutan harga yang melebihi harga asal sehingga menyebabkan FIC mengalami kerugian berjuta-juta ringgit.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel di Kuching pada harga RM160 juta (lebih RM50 juta dari harga sebenar) manakala hotel di Kensington, London, pada harga £60 juta (kira-kira RM317 juta) pada 16 Disember 2014.