Aktivis Hishamuddin Rais dan Adam Adli ditahan di Balai Polis Dang Wangi pada Isnin di bawah Akta Hasutan.

Mereka merupakan antara aktivis yang mengibarkan bendera 'Sang Saka Malaya' pada sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka pada Jumaat lepas.

Terdahulu, menurut laporan Bernama, Polis Kuala Lumpur telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat insiden mengibarkan bendera rekaan pihak tidak bertanggungjawab pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka, Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh memberitahu Bernama hari ini bahawa pasukan khas itu akan menyiasat insiden itu daripada pelbagai sudut dan telah membuka kertas siasatan berhubung insiden itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata pihaknya akan memanggil kumpulan yang terbabit mengibarkan bendera rekaan itu untuk membantu siasatan.

Beliau berkata pihaknya masih belum mengenal pasti individu yang merampas bendera alternatif itu daripada kumpulan berkenaan seperti yang dilihat dalam klip video yang dimuat naik dalam laman 'Youtube'.

Zainuddin berkata kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Sementara itu, tiga buah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan aktivis politik Hishamuddin Rais berhubung insiden tersebut.

Dua NGO tersebut iaitu Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIM) dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di Jalan Kasipillay di sini.

Manakala Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay menyifatkan perbuatan mengibarkan bendera selain Jalur Gemilang ketika negara meraikan sambutan kemerdekaan sebagai tidak boleh diterima dan menyinggung perasaan rakyat.

Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya pula berkata perbuatan itu menghina kedaulatan negara dan tidak seharusnya dibiarkan terus berlaku.

"Perkasa Selangor percaya ada tangan ghaib untuk wujudkan keadaan kucar-kacir di negara ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Di ALOR SETAR, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir kesal dengan perbuatan segelintir rakyat mengibarkan bendera lain menggantikan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan.

Katanya perbuatan itu memberi tafsiran untuk tidak memperakui sejarah pejuang serta pemimpin-pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Justeru, beliau meminta rakyat mempertahankan simbol dan panji-panji negara, Rukun Negara dan segala lambang yang menjadi sumber dan semangat perpaduan kaum di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Minggu Perpaduan, Pelancaran Serentak e-Rukun Tetangga dan My Rukun Negara sempena Bulan Kemerdekaan peringkat negeri di Bandar Muadzam Shah di sini.

Di KULIM, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) cawangan Kedah menyifatkan golongan yang memperlekeh Jalur Gemilang dan mengibar bendera alternatif sebagai pengkhianat serta penderhaka negara.

Setiausahanya Datuk Mohd Hadzir Ismail berkata pihaknya menyokong saranan pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam semalam supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak terbabait dengan melucutkan taraf kerakyatan mereka.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata polis sedia menyiasat pihak yang mengibar bendera berkenaan jika ada laporan polis dibuat mengenainya.

Beliau menegaskan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap kumpulan yang mempertikaikan status Jalur Gemilang.