Kekosongan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mesti diisi dengan segera untuk membolehkan jawatankuasa itu meneruskan siasatan mereka terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, amat malang sekiranya siasatan oleh PAC terbengkalai hanya disebabkan beberapa ahlinya menerima pelantikan sebagai anggota pentadbiran kerajaan persekutuan ekoran rombakan kabinet baru-baru ini.

"Masyarakat umum juga tertunggu-tunggu laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Laporan awal mengenainya telah pun diserahkan kepada PAC.

"Dengan siasatan oleh PAC yang tergendala setakat ini, masyarakat umum pastinya ingin mengetahui status laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Pada hemat saya, perkembangan siasatan dan pendakwaan berhubung skandal 1MDB amat mendukacitakan.

"Di satu peringkat kerajaan kelihatan serius untuk menyelesaikan kemelut ini, tetapi kemudiannya perkembangan proses siasatan kelihatan perlahan dan hampir tergendala," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rombakan kabinet baru-baru ini menyaksikan Datuk Nur Jazlan dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai Timbalan Menteri Luar; Datuk Mas Ermieyanti Samsudin sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan serta Datuk Wilfred Madius Tangau sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Dalam pada itu Muhyiddin turut bimbang dengan tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan mengenai 1MDB.

"Seolahnya terdapat tangan-tangan ghaib yang sengaja mahu menutup kesalahan pihak-pihak tertentu. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

"Terbaharu ialah penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012 semata-mata kerana tindakan beliau membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa di luar negara berhubung transaksi 1MDB.

"Seingat saya SOSMA adalah satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen negara kita untuk membendung kegiatan keganasan atau terrorisme," jelasnya.

BACA: 'Raja-raja Melayu prihatin isu 1MDB' - Muhyiddin

Muhyiddin turut mempertikaikan kesalahan membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa berhubung transaksi yang dibuat oleh sebuah syarikat swasta sehingga dianggap satu kegiatan keganasan.

"Adakah 1MDB kini telah menjadi satu institusi yang kebal dan amat dilindungi oleh pihak berkuasa negara kita?

"Saya tidak fikir begitu. Membuat laporan terhadap 1MDB bukanlah satu kegiatan keganasan dan 1MDB bukanlah sebuah institusi yang kebal. 1MDB adalah satu entiti yang tertakluk kepada undang-undang negara," katanya.

Ujarnya, kerajaan perlu menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit.

"Maka pada hemat saya adalah amat wajar bagi warganegara yang prihatin menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu 1MDB atau membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa supaya menyiasat setiap dakwaan terhadap 1MDB secara telus, adil dan berkecuali.

"Mereka yang membuat laporan mengenai 1MDB sewajarnya mendapat perlindungan undang-undang dan bukan sebaliknya.

Malaysia adalah sebuah negara yang berpaksikan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berasaskan perlembagaan dan undang-undang negara dalam menyelesaikan kemelut 1MDB bukan sahaja akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis malah mencemarkan nama Malaysia di mata masyarakat antarabangsa," jelasnya.