Perbezaan pandangan di antara Islam dan Konfusianisme tidak harus ditakuti, sebaliknya ia perlu dirai, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Jelas baginda, dua kepercayaan ini telah berabad lama saling bertukar pandangan, berkolaborasi dan berdialog secara harmoni.

“Jika kita lihat, walaupun terdapat perbezaan, dua tradisi ini berkongsi fokus utama dan persamaan. Persamaan yang paling utama adalah sifat toleransi dan saling menerima.

“Dalam dunia yang saling berpecah dan berdepan konflik, kedua-dua -- Islam dan Konfusianisme -- menggalakkan kita sebagai manusia untuk saling mengiktiraf dan menghormati sesama manusia, daripada tidak mempercayai dan membenci setiap perbezaan,” titah baginda pada ucaptama Dialog Peradaban Belia Malaysia-China Kedua: Islam dan Konfusianisme, di sini, hari ini.

Baginda menegaskan nilai dan falsafah yang dipegang kedua-dua kepercayaan itu menjadi penghubung masyarakat dalam abad ke-21 ini.

“Sumbangan terbesar yang dilakukan oleh Islam dan Konfusianisme kepada etika pada abad ini adalah dengan mempromosi toleransi, saling menerima dan komuniti.

"Dalam kedua-dua tradisi, tidak diragui lagi, sifat saling memahami dan harmoni jadi pendokong kepada perhubungan antara negara dan rakyat pada masa kini.

“Bukan satu kebetulan apabila Islam dan Konfusianisme mempunyai sejarah yang panjang apabila saling hormat menghormati dan berdialog secara produktif,” titah baginda.

Justeru, baginda berpandangan supaya nilai-nilai sejagat yang diterap dalam dua kepercayaan ini dapat menangani beberapa isu global yang mendepani rakyat ketika ini termasuk isu perubahan iklim, kelestarian alam dan kemiskinan global.

Dialog dua hari yang bermula hari ini dianjurkan Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menampilkan beberapa panel tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi dan berdialog berkenaan Islam dan Konfusianisme.