P Kasthuriraani pada Rabu memberi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) tempoh masa 48 jam bagi menarik semula artikel bertajuk 'Ahli Parlimen DAP desak hak kebebasan murtad, ajaran sesat'.

Ahli Parlimen Batu Kawan itu berkata, tajuk artikel berkenaan merupakan satu fitnah ke atas dirinya dan kini telah tular dalam laman sosial serta WhatsApp.

Menurutnya, susulan tajuk artikel berkenaan, beliau kini bimbang dengan keselamatan dirinya apabila menerima ancaman di media sosial antaranya "jangan bermain dengan api" dan lain-lain lagi.

"Dua hari lalu saya membahas polis luar negara yang dibentangkan Menteri Luar Negeri (Datuk Saifuddin Abdullah)... saya bahaskan kepentingan Malaysia menandatangani konvensyen kebebasan agama dan kepercayaan bagi melindungi kepercayaan dan agama pihak minoriti.

"Saya tak pernah sekalipun menyebut atau menghina agama Islam, malah ucapan saya mengikut Perlembagaan iaitu agama Islam agama rasmi negara. Saya terkilan dan terperanjat apa yang dipaparkan dalam Ismaweb," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, di sini, pada Rabu.

Kasthuriraani berkata, beliau menafikan sekeras-kerasnya mengeluarkan kenyataan berkaitan kedudukan Islam atau pindaan kepada Perlembagaan.

"Oleh itu, saya beri Isma dan juga yang sehaluan dengannya tempoh 48 jam untuk menarik semula artikel. Sekiranya tidak ada tindakan, saya akan membuat laporan polis dan tindakan undang-undang akan diambil," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus berkata, sekiranya Kasthuriraani ada menghina agama Islam atau mencabar perlembagaan, beliau serta ahli Parlimen lain termasuklah Pas, PKR pasti sudah bertindak menegur Kasthuriraani.

"Dengan menukar tajuk seperti ini, ia memberikan pandangan dan suasana negatif dalam Parlimen sedangkan perkara ini tidak berlaku," katanya.