Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyeru UMNO supaya menyokong langkah kerajaan negeri Kelantan yang diterajui oleh PAS mahu merintis jalan ke arah pelaksanaan undang-undang jenayah Islam di negeri itu.

Naib Presiden ISMA, Abdul Rahman Mt Dali berkata pelaksanaan hudud dan qisas di Kelantan itu harus jadi projek bersama PAS dan UMNO.

"Apabila PAS Kelantan berhasrat melaksanakan hukum hudud, UMNO wajar segera menyambut baik dan menyokong langkah itu. Jadikan ia Projek Kesepakatan PAS-UMNO.

Slogan 'Ini kalilah!’ sangat sesuai dengan situasi ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahman juga berpendapat sokongan UMNO terhadap usaha PAS itu akan lebih mendekatkan kedua-dua parti itu yang perjuangan asalnya berkait dengan Islam -- PAS berjuang menegakkan negara Islam, UMNO berjuang menjaga Islam.

"Kita mengharapkan kedua-dua parti orang Islam itu bersepakat untuk bekerjasama dalam hal-hal berkaitan kemajuan dan kepentingan Islam dan orang Islam," katanya.

Abdul Rahman mengulas usaha kerajaan negeri Kelantan menyiapkan dua rang undang-undang persendirian untuk dikemukakan di Parlimen bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 dikuatkuasakan di Kelantan.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri pada Rabu sebagai menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom bahawa kerajaan pusat sedia menyokong mana-mana negeri yang mahu menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam.

Jamil Khir dalam kenyataannya semasa menggulung usul titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat minggu lalu berkata kerajaan Persekutuan sedia untuk bersama menyokong sekiranya ada undang-undang persendirian berkaitan hudud dikemukakan di Parlimen.

Sementara itu, Abdul Rahman menggesa kerajaan negeri Kelantan dan PAS negeri itu supaya tidak tunduk kepada DAP dan PKR yang "dijangka akan menentang dan melobi habis-habisan" PAS pusat untuk menghalang hukum hudud ini.

Beliau juga meminta Jawatankuasa PAS Pusat agar sebulat suara menyokong PAS Kelantan "walaupun ada di kalangan mereka kuat wala’ dan malu alah dengan DS Anwar Ibrahim yang sangat menagih undi kaum Cina dan India."

Beberapa orang ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat yang ditemui oleh Astro AWANI enggan mengulas atau berhati-hati untuk mengulas hasrat kerajaan negeri Kelantan itu.