Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendesak supaya Peguam Negara, Tommy Thomas meletakkan jawatan kerana gagal menjalankan tugas dengan baik.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, banyak pihak terkejut apabila Tommy mengumumkan kos guaman kes kapal mewah Equanimity berjumlah RM2 juta daripada keseluruhan kos berjumlah RM15.5 juta termasuk kos penyelenggaraan dan pelabuhan.

“Kos guaman RM2 juta dianggap terlalu tinggi, lebih-lebih lagi keputusan kes ini adalah secara penghakiman mungkar (default judgment) iaitu tiada sebarang perbicaraan.

“Ramai masih ingat apabila Tommy mengumumkan pelantikan peguam Sitpah Selvaratnam daripada firma guaman milik Tommy bagi mewakili kerajaan, ramai mempersoalkan tindakan tersebut, lebih-lebih lagi mengenai kos guaman.

“Namun, Tommy menjelaskan tiada bayaran akan dikenakan kepada kerajaan atau pro bono,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahli Parlimen Bera itu turut mempersoalkan kemampuan Tommy dan ketidakyakinan beliau terhadap peguam di Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengendalikan kes tersebut.

“Seperti yang kita semua tahu, Jabatan Peguam mempunyai peguam yang kompeten dan pakar dalam semua cabang perundangan termasuk undang-undang kelautan antarabangsa dan lain-lain, jadi kenapa perlu ambil peguam luar?” soal beliau.


Ismail Sabri berkata, Tommy tidak layak menjadi Peguam Negara kerana ketidakmampuan mewakili kerajaan termasuk dalam beberapa kes lain yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga terpaksa menggunakan peguam luar.

“Akibat ketidakmampuannya, kerajaan terpaksa membayar kos guaman yang terlalu tinggi sebanyak RM2 juta untuk kes kapal Equanimity.

“Peguam Negara juga memalukan AGC kerana tidak menyakini peguam-peguam di bawah beliau sendiri, malah yang mengecewakan, apabila berbohong mengatakan pro bono tetapi akhirnya kos guaman tetap dikenakan,” dakwanya.

Jelas beliau, antara kesilapan Tommy apabila gagal menasihatkan kerajaan sehingga kerajaan membuat keputusan untuk menandatangani Statut Rom tetapi akhirnya Kabinet terpaksa membatalkan statut tersebut.