Tutup

Istana Kelantan tarik balik darjah kebesaran Azeez Rahim

Istana Kelantan tarik balik darjah kebesaran Azeez Rahim
Mulai dari tarikh tersebut, Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling sudah tidak boleh lagi menggunakan gelaran Datuk yang dikurniakan kepadanya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) daripada Istana Kelatan kepada Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim telah ditarik balik, berkuat kuasa 2 April lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad dalam satu siaran media di Kota Bharu pada Khamis.
Nazran memaklumkan mulai dari tarikh tersebut, Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling sudah tidak boleh lagi menggunakan gelaran Datuk yang dikurniakan kepadanya.

Abdul Azeez sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan menerusi surat yang disampaikan kepadanya pada hari yang sama.
“Apa-apa kuasa atau perkara yang berkaitan dengan anugerah Darjah Kebesaran ini juga tidak boleh digunakan.

“Yang berbahagia Datuk Seri Panglima juga dikehendaki mengembalikan ketandaan Darjah Kebesaran yang berkaitan kepada Yang Berhormat Datuk Perwira Raja, Pengelola Istana D’Raja, Pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar, Kota Bharu dengan serta merta,” katanya.

Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salahguna) (Pindaan) 2015 diwartakan kerajaan negeri pada 27 Ogos 2015.

Enakmen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun bagi mana-mana orang yang menggunakan apa-apa Darjah, Tanda Kebesaran, Pingat, Lambang dan Bintang Kebesaran yang pernah dikurniakan oleh Sultan yang sudah ditarik balik oleh Baginda.

Enakmen itu juga memberi kuasa kepada polis untuk membuat penyiasatan di bawah enakmen terbabit termasuk kuasa untuk memasuki premis dan menggeledah serta menyita apa-apa keterangan atau barang kes yang disyaki berkait dengan kesalahan di bawah enakmen itu.