Istana Malacanang akan menawarkan khidmat guaman kepada lapan lelaki warga negara itu yang akan dibicarakan di mahkamah Malaysia meskipun timbul keraguan mengenai taraf kerakyatan suspek terbabit.

Menurut media Filipina, Inquirer Global Nation, jurucakap kepada Timbalan Presiden Filipina, Abigail Valte dipetik berkata kerajaan Malaysia bertegas mengatakan kelapan-lapan suspek pengganas itu adalah warga Filipina dan disebabkan itu telah membenarkan Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur untuk bertemu dan menawarkan sebarang khidmat guaman kepada mereka.

Pada Jumaat lalu, jurucakap kepada ‘Sultan’ Sulu, Abraham Idjirani mendakwa lelaki yang ditangkap itu bukanlah warga Filipina sebaliknya adalah warga Malaysia.

Manakala pada Khamis lepas, Presiden Aquino berkata beliau telah pun mengarahkan Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur untuk menawarkan guaman kepada lapan warga Filipina yang telah pun dihadapkan ke mahkamah.

“Adalah menjadi kewajipan kami untuk menawarkan khidmat guaman kepada warga kami yang berhadapan dengan tuduhan di mahkamah dan ianya dilakukan tanpa mengira fahaman dan tujuan mereka,” kata Aquino.