Pertelingkahan rumahtangga berakhir tragedi apabila seorang wanita maut dicekik suaminya dalam kejadian di kediaman mereka di Taman Merbau Indah, Butterworth kira-kira jam 5 pagi semalam.

Mangsa berusia 26 tahun itu ditemukan dalam keadaan terlentang, lengkap berpakaian dan ditutupi dengan cadar di dalam bilik.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata punca kejadian dipercayai akibat cemburu.

Suspek, menurutnya, mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan teman WhatsApp sejak tiga minggu lalu.

Siasatan polis mendapati terdapat kesan luka pada tangan, leher dan bahu mangsa.

Polis percaya suspek telah membunuh mangsa dengan mencekik leher dan mencederakannya menggunakan pisau pemotong daging.

Suspek berusia 25 tahun yang ditahan beberapa jam selepas kejadian mengaku mencekik dan menetak isterinya menggunakan pisau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman tujuh hari untuk membantu siasatan.