Isteri Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang pada Jumaat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, Betty ditahan kira-kira pukul 11 pagi ketika diminta hadir ke ibu pejabat SPRM di Pulau Pinang.

Jelas Azam, selain Betty, SPRM turut menahan ahli perniagaan Phang Li Koon pada Khamis dipercayai berkait rapat dengan pembelian sebuah rumah banglo pada 2015.

"Kedua-dua mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang bersama Guan Eng pada Selasa, 11 Ogos ini atas pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 dan 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah

Azam turut menjelaskan, kedua-dua wanita itu telah dibebaskan dengan jaminan SPRM pada Jumaat.

Guan Eng telah ditahan pada jam 9.30 malam Khamis selepas SPRM mendapat izin mendakwa daripada Peguam Negara bagi menuduh bekas Menteri Kewangan itu berhubung kes terowong dasar laut di Pulau Pihang pada esok pagi (7 Ogos) di Mahkamah Khas Rasuah di Jalan Duta di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan 10 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang bawah akta yang sama.

Namun, hari ini, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan berhubung Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Jenayah 9 di hadapan Hakim Azura Alwi atas dakwaan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.