Isteri juvana didakwa

Isteri juvana didakwa
Isteri juvana yang dituduh membunuh suaminya di sebuah rumah di Taman Pertama Indah, Sungai Abong, Muar 14 ogos lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini.
MELAKA: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Muar Johor hari ini atas tuduhan membunuh suaminya pada 14 Oktober lalu.

Tertuduh yang juga pesalah juvana hanya menunduk faham sejurus kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati membunuh suaminya yang berusia 28, di sebuah rumah beralamat Nombor 130 A, Jalan Indah 6, Taman Pertama Indah, Sungai Abong, Muar sekitar 1.30 petang 14 Oktober lalu.

Juvana itu yang juga seorang peniaga makanan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Prosiding yang dijalankan secara tertutup dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Amilana Basirah kemudian menetapkan 23 November ini sebagai tarikh semula sebutan kes bagi menunggu laporan psikiatri.

Mahkamah turut mengarahkan remaja perempuan itu menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai Johor Bahru mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan, seorang pemotong ayam dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam isterinya yang berusia 18 tahun dengan hanya satu tikaman menggunakan pisau pemotong sayur bersaiz kira-kira 21 sentimeter (cm) dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Pertama Indah, Sungai Abong, Muar 14 ogos lalu.

Kejadian itu difahamkan angkara cemburu selepas mangsa sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah.