Seorang isteri reda selepas suaminya yang diserang jangkitan paru-paru ketika menunaikan haji di Makkah pada 26 Ogos lepas meninggal dunia di tanah suci.

Che Hanisah Mat Yacob, 53, berkata beliau reda kerana suaminya Mohd Yusof Muhamad, 66, yang merupakan pesara guru pernah menyuarakan hasrat untuk meninggal dunia di Makkah sebelum berangkat menunaikan haji pada 29 Julai lepas.

"Sebelum kami berdua pergi ke Makkah, arwah ada beritahu nak meninggal dunia di sana. Saya reda kerana impiannya tercapai," katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan daripada Pengarah Tabung Haji Kelantan, Wahyudin Tamami di rumahnya di Kampung Pulai Chondong di sini, hari ini.

Che Hanisah yang merupakan seorang guru berkata sebaik tiba di Madinah, arwah suaminya diserang angin ahmar sehingga menyebabkan beliau ditahan selama 28 hari di Hospital Raja Fahd untuk menerima rawatan.

Beliau berkata suaminya yang mengalami sakit jantung kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 12.16 tengah hari (waktu Arab Saudi) dan dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di sana.

Sementara itu Wahyudin ketika menyampaikan sumbangan Takaful Khairat Kematian daripada badan itu berkata Mohd Yusof merupakan antara empat daripada 3,356 orang jemaah haji dari Kelantan yang meninggal dunia di tanah suci pada tahun ini.

Katanya beliau berharap anggota keluarga Mohd Yusof diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian berkenaan.

-- BERNAMA