Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan bahawa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor adalah pemilik syarikat e-hailing, Grab.

Tegasnya, jika benar Rosmah memiliki syarikat itu, Pakatan Harapan mungkin tidak lagi menggunakan perkhidmatan syarikat itu.

"Saya pasti ramai yang terkejut dengan pengumuman Kementerian Kewangan mahu menggantikan bas perantara MRT dan LRT dengan Grab. Sebelum PRU14, salah satu fitnah yang disebar oleh mereka yang menyokong PH kononnya isteri saya, Rosmah adalah pemilik Uber dan Grab.

"Oleh itu, jika benar isteri saya pemilik Grab, kenapa PH mahu menggunakan Grab? Tuduhan kononnya isteri saya pemilik Grab atau Uber adalah satu lagi fitnah PH untuk menyemarakkan kemarahan orang ramai terhadap saya dan isteri," katanya dalam entrinya di laman sosial Facebook.

Katanya, Uber adalah syarikat Amerika Syarikat dan kini bernilai US$72 bilion (RM300 bilion) manakala Grab adalah syarikat tempatan yang dimulakan oleh usahawan muda Malaysia ketika pentadbirannya.

"Grab yang bermula sebagai ‘My Teksi’ berjaya bersaing dan turut menggantikan Uber di Malaysia dan negara di Asia Tenggara - suatu kebanggaan untuk negara.

"Jika benar isteri saya pengasas dan pemilik Uber dan Grab maka dia adalah usahawan paling berjaya di Malaysia yang turut memahat nama di luar negara! Malangnya, ini tidak benar. isteri saya tiada kena-mengena dengan Uber dan Grab," ujarnya lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan dakwaan terhadap isterinya itu timbul apabila beliau mencadangkan kepada Khazanah Nasional untuk melabur dalam Grab ketika mereka baru bermula.

"Bagaimanapun, selepas membuat penilaian, Khazanah tidak membuat pelaburan dalam Grab dan saya tidak meneruskan lagi kerana saya menghormati pendirian mereka. Sudah tentu, Khazanah kesal sekarang kerana syarikat Grab kini sudah bernilai US$11 bilion (RM46 bilion)," kata Najib.