Warga emas tabah melayan isteri seperti bayi baru lahir selepas diserang penyakit saraf dua tahun lepas.

Zakaria Abdul Rahman, 73, berkata, sebelum isterinya, Ramlah Ahmad, 73, diserang penyakit itu, dia terlebih dahulu terkena penyakit sama.

Menurutnya, selepas dia sembuh sepenuhnya daripada penyakit saraf, isteri pula mengalami nasib sepertinya.

“Dulu dia (isteri) yang jaga saya, sekarang giliran saya pula yang jaga dia walaupun kami sama-sama sudah uzur.

“Saya reda ALLAH uji kami macam ni, mungkin ada hikmah di sebalik semua ini lagipun ia menjadi pengikat kasih sayang antara kami," katanya.

Zakaria berkata kepada Sinar Harian ketika Program Ziarah Cakna Briged Negaraku di Kampung Bukit Mundok, di sini.

Ditanya berhubung rutin harian, mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Mundok itu berkata, setiap hari dia akan memasak, memandikan dan menyuap isteri tersayang yang turut mengidap kencing manis.

Waktu bersama rakan-rakan juga terbatas apabila isteri terlantar dan jika ‘gian’ untuk keluar juga, dia akan keluar sekejap sahaja pada sebelah petang.

Katanya, dia tidak boleh tinggalkan isteri dalam tempoh agak lama kerana hanya tinggal berdua di rumah berkenaan.

“Saya tak berani tinggal isteri lama-lama kerana segalanya saya yang kena buat termasuk menukar lampin pakai buang dia dan bimbang dia terjatuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Bapa kepada enam anak itu turut berkata, bantuan sebanyak RM300 sebulan yang diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mencukupi untuk menampung keperluan isteri.

Selain isteri, Zakaria sendiri juga minum susu khas untuk warga emas bagi menjaga kesihatan masing-masing.

“Saya juga akan tulis perbelanjaan harian di dalam buku dan dari situ saya tahu duit bantuan yang diberi digunakan untuk apa.

“Mujurlah anak-anak ada yang membantu, kalau tidak memang tak cukup kami nak belanja setiap bulan,” katanya.