Istiadat angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baharu akan berlangsung petang ini, kata Anggota Dewan Negara Perak Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

Beliau berkata persiapan untuk istiadat yang dijangka bermula pada 5 petang di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar itu telah dibuat dan jemputan juga sudah dikeluarkan.

Bagaimanapun parti mana yang akan membentuk kerajaan negeri, sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH), belum diketahui.

Mohd Annuar berkata PH dan BN dijangka menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta di sini kira-kira 2 petang ini untuk membuktikan mereka mempunyai majoriti mudah 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk kerajaan negeri.

"Mula-mula (perjumpaan BN pada pagi ini) tetapi apabila PH minta tangguh sampai 2 petang, tidak adil jika tiba-tiba Tuanku jumpa kumpulan lain pagi ini. Kami tetapkan masa sekitar 2 petang... maklumat lanjut (perjumpaan parti mana dulu) belum tahu lagi. Kami masih menunggu maklumat daripada mereka.

"Jika Tuanku dapat diyakinkan ada pihak yang ada majoriti mudah, Tuanku tidak mahu menangguh pembentukan kerajaan kerana ia dilihat tidak baik.

"Bukan tujuan Sultan Nazrin untuk melengah-lengahkan atau melambatkan (pelantikan). Kita harap dapat selesaikan dan kita boleh mula bekerja," katanya ketika ditemui di luar Istana Kinta di sini hari ini.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang memenangi DUN Gunung Semanggol serta Khalil Yahaya (DUN Kubu Gajah) dan Mohd Akmal Kamaruddin (DUN Selama) dilihat memasuki Istana Kinta kira-kira 9.35 pagi.

Pada PRU14 Rabu lepas, Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, PPBM dan Amanah berjaya memenangi 29 daripada 59 kerusi DUN, sementara BN (27) dan PAS (3).

-- BERNAMA