Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah akan dibawa ke Istana Abu Bakar, Pekan dari Istana Negara Kuala Lumpur pada Rabu petang.

Orang awam boleh memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah bermula malam ini (Rabu malam) hingga jam 9 pagi esok (Khamis).

Mereka yang ingin memberi penghormatan terakhir dinasihatkan memakai songkok berlilit putih dan baju serta seluar hitam bagi lelaki, manakala wanita pula berpakaian sopan labuh serba hitam dan mengenakan tudung atau selendang.

Istiadat penghormatan terakhir oleh pemimpin negara termasuk perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri kabinet dan kerabat Diraja serta pemimpin luar negara ke atas jenazah Paduka Ayahanda Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar akan bermula jam 11 pagi Khamis.

Dijangkakan istiadat pemakaman jenazah Paduka Ayahanda Sultan Pahang dijalankan di Makam Diraja Pekan, bersebelahan Masjid Sultan Ahmad Shah, Jalan Pekan-Rompin antara pukul 1.30 ke 2.30 petang Khamis.

Solat jenazah akan dilakukan di Masjid Sultan Ahmad selepas solat Zohor.

Mulai hari ini hingga Sabtu, sebarang bentuk acara hiburan tidak dibenarkan dan Majlis Tahlil selama tiga malam di masjid-masjid dan surau-surau seluruh negeri Pahang.

Orang awam akan berkabung selama 40 hari, manakala bagi kerabat Diraja Pahang selama 100 hari.

Sementara itu, sebagai tanda penghormatan ke atas kemangkatan Almarhum, kerajaan Pahang juga mengumumkan esok (Khamis) sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri ini.