Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menegaskan pembayaran RM6.98 bilion ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan sahaja tepat, tetapi ia juga merupakan ‘bailout’ terbesar dalam sejarah Malaysia.

Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, beliau berkata, aset-aset 1MDB kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan (MoF), namun proses pengambil alihan itu bukan percuma, sebaliknya ia datang dengan jumlah pampasan yang cukup tinggi.

“Saya ingin mengingatkan Datuk Seri Najib bahawa MoF tidak mengambil alih aset ini secara percuma, sebaliknya apabila kementerian mengambil alih TRX City Sdn Bhd, ia juga terpaksa mengambil alih pinjaman syarikat bernilai RM800 juta yang diambil daripada PERKESO. Hutang ini akan matang pada tahun 2020.

“Apabila MoF mengambil alih Bandar Malaysia Sdn Bhd, kementerian terpaksa bertanggungjawab ke atas pinjaman sukuk bernilai RM2.4 bilion,” katanya dalam kenyataan itu.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, pengambil alihan itu bukannya ‘bailout’, sebaliknya ia merupakan proses seperti mana yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Tegas bekas Presiden UMNO itu lagi, kesemua aset strategik dan berharga 1MDB telah dipindahmilik ke syarikat lain di bawah MoF Inc, tetapi hutang dan liabiliti 1MDB kekal di bawah syarikat itu.

Namun Lim berkata, kenyataan Datuk Seri Najib adalah salah kerana beberapa siri pampasan sudah telah dibayar kepada 1MDB, termasuk RM6.98 bilion yang didakwa langsung tidak ada kena mengena dengan mana-mana projek hartanah di TRX dan Bandar Malaysia.

Antara pembayaran yang disenaraikan Lim Guan Eng ialah:

Pembayaran faedah kupon bon 30-tahun bernilai RM5 bilion yang diterbitkan pada 2009, dan dilaburkan kepada PetroSaudi International Ltd.

Pembayaran faedah kupon bon 10-tahun sejumlah USD3.5 bilion (RM13.9 bilion) yang diterbitkan pada 2012 untuk membeli loji-loji penjana kuasa, yang mana ia telah dijual dan hasil jualan telah digunakan sepenuhnya, tetapi bon itu didakwa masih lagi terhutang dalam syarikat.

Pembayaran faedah kupon bon 10-tahun sejumlah USD3 bilion (RM11.94 bilion) untuk membiayai pembangunan TRX, namun Ketua Audit Negara melaporkan hasil terbitan bon itu langsung tidak digunakan untuk pembangunan TRX.

“Maka, mengapa sebarang pulangan daripada projek-projek hartanah yang asalnya dibeli pada harga yang sangat rendah – patut digunakan untuk menutup dan membayar balik segala pinjaman-pinjaman tidak berkaitan di atas?” soal Lim lagi.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan berkata adalah lebih baik agar perbahasan mengenai ia merupakan ‘bailout’ atau tidak, dihentikan segera, sebaliknya menggesa Datuk Seri Najib untuk menjelaskan mengenai pembayaran seperti yang digariskan di atas.

Lim berkata, MoF juga akan terus bekerja sama dengan Jawatankuasa Khas 1MDB yang ditubuhkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan sebanyak mungkin dana yang hilang dan dicuri, serta menghukum semua pihak terlibat dalam skandal korupsi terbesar Malaysia.