Siasatan berhubung dakwaan yang dilemparkan terhadap perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak oleh akhbar The Wall Street Journal (WSJ) perlu disegerakan.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, semua pihak kini sepakat untuk memberi laluan kepada panel penyiasat menjalankan siasatan mereka.

Kata Mustapa, beliau berharap siasatan itu dapat disegerakan dan tidak melindungi sesiapa serta ditangani dengan baik.

"Kita kena pastikan isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat kerana banyak hal lain kita perlu selesaikan.

"Kita sedang meningkat maju, banyak lagi agenda lain yang perlu diberi perhatian dan kalau kita dapat tangani dengan baik, kita dapat tumpu pada isu yang lebih penting.

"Kita harap semua pihak yang menjalankan siasatan ini dapat mengetahui secepat mungkin kerana semua rakyat nak tahu apa yang berlaku," kata Mustapa.

Mustapa berkata demikian ketika mengulas isu dakwaan WSJ berhubung penyaluran sejumlah dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun perdana menteri.

Terdahulu Mustapa menyampaikan gulai kawah kepada pengunjung bazar Ramadan di sini hari ini.