Umat Islam di negara ini diminta agar berdepan dengan sebarang provokasi dengan bijak dan waras sejajar dengan tuntutan Islam agar tidak mencetuskan perbalahan kaum dan agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata tidak semestinya sesuatu kejahatan dibalas dengan kejahatan, sebaliknya mendoakan agar mereka yang menimbulkan kemarahan supaya mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah selain terus mempertontonkan akhlak Islam yang mulia kepada masyarakat.

Jelas Jamil Khir, Nabi Muhammad s.a.w ketika dilantik menjadi Rasul, turut dihina dengan pelbagai penghinaan, namun baginda tidak membalas dengan kejahatan dengan harapan orang yang menghina akan berubah baik dan menganuti Islam.

"Saya mengharapkan kita sebagai umat Islam dalam masa yang sama juga mengambil kewarasan yang tinggi, kebijaksaan agama, mengambil pengajaran seperti mana yang diajar Nabi begitu juga Rasulullah yang dihina beberapa kali namun kita tetap untuk mempertahankan kesucian dalam masa sama juga mengangkat akhlak Islam sebaik mungkin" katanya selepas merasmikan Hari Potensi Tabika Kemas dan Pencegahan Jenayah Daerah Yan di sini, pada Sabtu.

Beliau merujuk kepada kontroversi terbaru Alvin Tan yang kini dipercayai berada di Amerika Syarikat, yang mengundang kemarahan terhadap umat Islam negara ini.

Terbaru, Alvin melalui laman sosial memuat naik gambarnya dengan cacah berupa kalimah Allah di bawah pehanya.

Pada masa sama, beliau berharap kerajaan dapat mengekstradisi Alvin ke Malaysia secepat mungkin bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil atas perilakunya itu, demi membela kesucian agama Islam.