Hamas menggesa negara Arab dan masyarakat Islam antarabangsa mengenakan tekanan ekonomi terhadap Amerika Syarikat (AS) sebagai bantahan terhadap keputusan Presiden Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Menurut Ketua Diaspora Hamas, Maher Salah, antara cadangan yang boleh dilakukan adalah menyekat pelaburan ekonomi terhadap mana-mana negara yang bersetuju dengan keputusan AS itu.

“Kita boleh menyekat pelaburan mana-mana negara yang bersetuju dengan keputusan itu. Kita ada pilihan lain seperti China, Rusia dan India untuk melabur. Kita tidak hanya perlu bergantung kepada AS.

"Ini adalah antara langkah yang boleh dilakukan bagi membantah tindakan AS,” katanya pada sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

BACA: Ketua Diaspora Hamas mahu Malaysia ketuai isu Baitulmuqaddis

Semalam, Trump mencipta sejarah sebagai presiden pertama Amerika Syarikat mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Pada masa sama, beliau mengumumkan pelan memindahkan pejabat kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Bagaimanapun Trump mengakui pengiktirafan ini tidak akan mengubah status quo Baitulmaqdis sebagai kota suci kepada tiga agama.