Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan slogan DAP kononnya menjadi parti politik paling bersih di Malaysia kini tidak boleh lagi diguna pakai.

Abdul Rahman berkata demikian sebagai susulan penahanan Setiausaha Aguung parti itu, Lim Guan Eng oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pulau Pinang hari ini.

"Jelas sekali, slogan DAP kononnya menjadi parti politik paling bersih di Malaysia tidak boleh lagi diguna pakai, susulan penahanan Lim Guan Eng oleh SPRM hari ini. Ketelusan dan kebertanggungjawab mesti diamalkan, bukan sekadar diperkatakan.

"Saya berharap SPRM akan meneruskan kelazimannya dalam menjalankan tugas tanpa kebimbangan atau pilih kasih. Pada akhirnya, semua ini diharap membawa kebenaran dan keadilan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau pada masa lega dengan penahanan Guan Eng itu kerana beliau yakin berlaku salah laku dalam transaksi pembelian banglo tersebut di mana rakyat Pulau Pinang harus mengetahui kebenaran.

BACA: Lim Guan Eng ditahan SPRM

"Tindakan menegakkan keadilan mesti dilakukan dengan pantas. Sebulan selepas siasatan dalaman dan perbincangan secara terbuka yang tegang, saya berasa lega apabila SPRM memutuskan untuk mengambil tindakan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng.

BACA: Isu banglo: SPRM sahkan tahan Lim Guan Eng dan Phang Li Khoon

"Saya membangkitkan kebimbangan berhubung penjualan dan pembelian banglo YAB Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn pada Mac 2016, kerana saya yakin berlaku salah laku dalam transaksi dan rakyat Pulau Pinang berhak mengetahui kebenaran," ujar Abdul Rahman.

SPRM hari ini dalam satu kenyataan memaklumkan Guan Eng ditahan pada Rabu berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn, George Town di bawah harga pasaran.

Turut ditahan adalah ahli perniagaan wanita, Phang Li Khoon yang merupakan pemilik asal banglo yang dijual dengan harga RM2.8 juta.

Kedua-dua mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang esok pada jam 10 pagi.