PAS kekal dengan prinsip untuk tidak menuduh seseorang itu bersalah selagi ia belum dibuktikan, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sebagai mengulas penahanan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Justeru, beliau berkata PAS menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan pendakwaan dan mahkamah untuk membuat keputusan.

BACA: Lim Guan Eng ditahan SPRM

"Tidak banyak yang ingin saya katakan cuma kita masih kekal dengan prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah.

BACA: Isu banglo: SPRM sahkan tahan Lim Guan Eng dan Phang Li Khoon

"Kita asyik bercakap berkenaan rasuah dan penyelewengan, jadi kita serahkan kepada SPRM sebagai badan pendakwaan dan pihak mahkamah untuk membuat keputusan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI malam ini.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP ditahan petang Rabu oleh beberapa orang pegawai SPRM ketika mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di pejabatnya sekitar jam 5.30 petang.

Turut ditahan ialah ahli perniagaan wanita, Phang Li Khoon yang ditahan di pejabatnya di Penang Garden sekitar jam 4.15 petang.