Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memantau keseragaman penilaian makmal kepada tanda aras yang di sahkan oleh Standard Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah KKM, Datuk Noor Hisham Abdullah, isunya bukanlah mengenai keupayaan makmal kementerian itu tidak tepat, tetapi apa yang penting adalah untuk seragamkan tanda aras dan dapatkan pengesahan dari Standard Malaysia untuk piawaian agar keputusan boleh di terima pakai oleh semua pihak.

"Sampel yg diambil oleh KKM bukan di kilang tetapi di pasaran dan kemungkinan pencemaran mungkin ada... akan tetapi KKM Masih menyiasat untuk kenal pasti punca pencemaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan komen di Facebook, semalam (Isnin).

Bagaimanapun Noor Hisham tidak menolak kemungkinan pencemaran tersebut memang ada kerana katanya coklat yang di ambil adalah dari pasaran.

"Kita masih dalam proses pengesahan dan pengesahan semula, tetapi laporan ini telah dibocorkan oleh kakitangan yang tidak bertanggunjawab dan telah pun menjadi viral.

"Saya telah menerima lebuh 200 mesej untuk mengesahkan laporan tersebut... adakah anda harapkan supaya kami menafikan laporan tersebut?" katanya ketika menjawab persoalan dari salah seorang pengguna Facebook.

Beliau dalam pada itu juga bersetuju bahawa lebih banyak sampel perlu diuji dan sedang terus bekerjasama dengan JAKIM dalam memantau kesemua proses tersebut.

Sementara itu, Noor Hisham dalam kenyataannya yang dipetik dari Berita Harian, mempertahankan keputusan ujian oleh makmalnya terhadap dua sampel produk coklat Cadbury yang mengandungi DNA babi.

Katanya isu kredibiliti hasil analisa tidak seharusnya timbul kerana kesemua makmal milik KKM dan Jabatan Kimia mempunya penanda aras tersendiri.

Jelas beliau, ujian antara makmal KKM dan Jabatan Kimia mempunyai keputusan yang berbeza kerana kedua-dua pihak menggunakan sampel yang diambil dari dua lokasi berlainan.

Pada 23 Mei, produk coklat Cadbury iaitu Kacang Hazel 175 gram (kelompok 200813M01H I2 tarikh luput 13 Nov 2014) dan Buah Badam 175 gram (kelompok 221013N01R I1 tarikh luput 15 Januari 2015) telah dikesan mempunyai Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi atau porsin oleh KKM.