Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan ibu bapa, penjaga dan guru dilatih menjadi polis simpanan atau sukarelawan bagi membantu pihak berkuasa mengesan masalah disiplin serta dadah melibatkan pelajar sekolah.

Presidennya, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, ibu bapa dan guru perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam usaha mencegah atau mengatasi masalah salah laku pelajar dengan lebih awal.

"Satu langkah yang saya rasa mungkin boleh difikirkan bersama ialah barangkali melatih ibu bapa, penjaga dan guru menjadi polis-polis simpanan, sukarelawan yang terlatih dalam aspek-aspek disiplin, dadah, dan salah laku dari segi buli dan lain-lainnya.

"Dengan adanya latihan kepolisan dan ketenteraan, mungkin hal-hal yang berkaitan dengan disiplin dan dadah dapat kita kenal pasti dari awal lagi dan lebih segera. Maka, tidaklah sudah berlaku baru kita fikirkan," katanya semasa dihubungi Astro AWANI.

Jelasnya, ibu bapa dan guru adalah pihak yang paling terbaik untuk mengawasi pelajar sama ada di dalam mahupun di luar sekolah.

"Yang mengawasinya ialah ibu bapa, penjaga dan guru. Mereka juga patut dilibatkan bersama, menerusi persatuan-persatuan beruniform yang diberi latihan secara formal dan diberi ganjaran setimpal jika betul-betul terlatih.

"Di sini mereka akan menjadi mata, telinga kepada permasalahan yang kita nak tangani segera, " katanya lagi.

Bagi aspek pelajar, mereka telah didedahkan dengan program ko-kurikulum melalui pergerakan beruniform dan Kelab Anti-Jenayah dalam usaha mencegah gelaja negatif yang berlaku.

"Yang penting kita memikirkan sewajar-wajarnya bagaimana kita boleh mengenal pasti dari awal lagi. Kepakaran ini perlu diberikan kepada ibu bapa, guru dan penjaga dan terus kepada pelajar," jelas beliau.

Dalam pada itu, PIBGN turut bersetuju dengan cadangan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid agar pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius dihantar menjalani program pemulihan di penjara dan lokap.

Program yang sedang dirangka itu dijangka siap tidak lama lagi sebelum dilaksanakan secara rasmi.

"Saya menyokong sepenuhnya usaha ke arah memulihkan secepat mungkin dan secara bersepadu, menyeluruh atau Pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"Ia bukan sahaja melibatkan agensi-agensi kerajaan semata-mata tetapi juga melibatkan pihak swasta, badan bukan kerajaan, jabatan agama, pihak berkepakaran supaya pemulihan itu dilakukan secara bersepadu, cepat dan mereka dapat kembali kepada pendidikan yang barangkali ketinggalan," ujarnya.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mengeluarkan 402 senarai sekolah hotspot di seluruh negara yang telah dikenalpasti mempunyai masalah disiplin dan dadah.

Difahamkan, kementerian itu telah mengemukakan senarai berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut dan semua pegawai perhubungan sekolah diarahkan mengambil tindakan proaktif untuk menangani masalah itu.