Wakil rakyat dipilih oleh rakyat di sesebuah kawasan sebagai wakil mereka dalam kerajaan, dan kerajaan membayar gaji mereka.

Ketua Pemuda UMNO Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar mengulas demikian di tengah-tengah kehangatan isu 'duit rakyat' yang kini kecoh diperkatakan berikutan kenyataan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berkenaan perkara itu.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dibuat oleh Syed Atif melalui status yang dinaik di akaun Facebook rasminya pada Khamis (9 Jun 2016) :

DUIT KERAJAAN BUKAN DUIT RAKYAT

1. Syabas kepada Ahli Parlimen Langkawi, YB Datuk Ir. Nawawi Ahmad, kerana mengetengahkan suatu isu penting yang tentunya dapat membina kefahaman rakyat, khususnya orang-orang muda, berkenaan batas-batas pertikaian terhadap pentadbiran kerajaan.

2. YB Ir Nawawi telah merumuskan secara tepat dan tajam bahawa gaji wakil rakyat dibayar dengan wang kerajaan; bukan wang rakyat. Ini bermakna, kerajaan merupakan suatu entiti yang berasingan. Apa yang perlu difahami, wakil rakyat dipilih oleh rakyat di sesebuah kawasan sebagai wakil mereka dalam kerajaan; dan kerajaan membayar gaji mereka.

3. Argumen bahawa duit kerajaan adalah duit rakyat semata-mata bersandar kepada sumber kewangan kerajaan yang sebahagiannya datang daripada bayaran cukai dan kutipan wang daripada rakyat.

Jika argumen seperti ini dijadikan pegangan, bermakna wang kutipan jualan oleh peniaga-peniaga runcit di pasar, supermarket dan kedai tayar juga merupakan duit rakyat; kerana wang tersebut dikutip daripada poket rakyat.

Mengapa 'rakyat' tidak pernah memandai-mandai atau cuba menuntut saham dalam perniagaan mereka ini?

4. Rakyat membayar wang kepada peniaga-peniaga runcit dan mendapat barangan. Di sisi yang lain, rakyat membayar wang kepada kerajaan dan mereka memperolehi pelbagai perkhidmatan dan kemudahan sebagai imbalan.

Ini kerangka asas ekonomi dan kenegaraan yang sedia difahami oleh rakyat terbanyak, kecuali sekelompok rakyat yang sengaja cuba mencipta kekeliruan.

5. Hakikatnya, wang kerajaan sama sekali bukan wang rakyat. Tidak ada satu sen pun wang kerajaan boleh dibelanjakan sekalipun 30 juta rakyat Malaysia menurunkan tandatangan bersetuju membelanjakannya.

6. Sekali lagi, syabas dan tahniah YB Ir Nawawi.



* Penulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang editorial Astro AWANI.