Tan Sri Isa Samad tidak akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV) kerana tiada sebab untuk beliau berbuat demikian.

Tegasnya, banyak pihak boleh memberikan pandangan, namun tidak semua faham dengan isu yang melanda syarikat itu.

"Itu masing-masing punya pandangan. Sebab apa pula saya nak letak jawatan? Bukan saya yang salah," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan bantuan RM500 kepada 600 golongan asnaf dari Lembah Klang di Menara Felda di sini hari ini.

Pada masa sama beliau berharap Perdana Menteri tidak dilibatkan dalam isu yang melanda FGV berkenaan.

"Itu tak usah ceritalah saya jumpa Perdana Menteri ke tidak. Saya tidak mahu babitkan Perdana Menteri," tegasnya.

Jelas beliau lagi, kehadiran SPRM di Ibu Pejabat FGV di Menara Felda hari ini adalah bagi melengkapkan siasatan terhadap syarikat itu.

"Memang kerja dia (SPRM). Proses siasatan SPRM kena tanya SPRM. Proses saya, kita dalam penyiasatan kita showcause dan buat keputusan. SPRM saya tidak tahu prosesnya," tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau sedia menemui SPRM jika suruhanjaya itu mahu mengadakan perjumpaan dengannya.

"Saya tidak tahu sama mereka (SPRM) akan datang jumpa saya atau tidak. So far saya belum bercakap lagi dengan SPRM.

"Kalau SPRM nak jumpa saya, saya jumpalah, kalau mereka tak nak jumpa, tiadalah (perjumpaan)," ujar beliau.

Mengenai pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali dalam FGV, beliau mengalu-alukan pelantikan itu.

"Tiada masalah. Saya telah bersama bekerja bersamanya sudah berapa lama. Apa masalahnya, yang salah, salahlah, itu sahaja.Pelantikan Idris adalah sesuatu yang baik,"katanya.

Isa pada masa sama menegaskan FGV tidak dilanda kemelut seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.

"Tiada kemelut sebenarnya. Orang yang menjadikan kemelut. Tiada apa pun. Tindakan disiplin seperti ini biasa. Cuma Felda ni sebab orang politik minat pada Felda.