Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli diminta membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan mengenai isu pembelian hartanah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA), Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc), daripada terus meraih populariti daripadanya.

Kenyataan dibuat pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa bagi menjawab gesaan Rafizi agar beliau memberikan penjelasan berhubung pembelian hartanah Dudley House International di Melbourne, Australia yang menjadi tumpuan media sejak akhir-akhir ini.

Kata Annuar menerusi kenyataan kepada Astro AWANI, dokumen lengkap berkaitan pembelian hartanah tersebut telah diserahkan beliau kepada SPRM pada Jumaat.

"Wajarkah saya melayan mereka mereka yang yang lebih berminat mendapatkan publisiti berbanding mengetahui mengenai hasil siasatan nanti?

"Apa yang dibangkitkan Rafizi bukan perkara baru dan saya pasti siasatan sedang dilakukan. Rafizi sedikit terlambat," kata Annuar.

Rafizi juga kata Annuar dilihat lebih berminat menjadikan isu itu sebagai umpan untuk perbincangan terbuka di pihak umum.

BACA: Dokumen baru dedahkan kepincangan prosedur pembelian hartanah MARA - Rafizi

BACA: Pembelian hartanah di Melbourne ikut prosedur - Shafie Apdal

BACA: Mara sedia bekerjasama dalam siasatan pembelian hartanah Australia

Pembentangan laporan lengkap oleh Mara Inc juga kata Annuar telahpun berlangsung pada petang tadi di Bangunan Mara Jalan Raja Laut.

Walau bagaimanapun laporan penuh intipati pembentangan masih belum dikeluarkan Mara Inc.

Tambah Annuar lagi satu sidang media akan dibuat pada Mesyuarat Khas Majlis Mara 2 Julai ini.

Rafizi dalam satu sidang media yang dianjurkan oleh National Oversight and Whistleblowers (NOW) pagi tadi mendakwa dokumen baru yang diperolehinya mendedahkan beberapa kepincangan prosedur pembelian hartanah MARA di Australia.

Beliau juga meminta penjelasan mengenainya dari Annuar berhubung urusan jual beli beberapa hartanah di Melbourne.